Wednesday, February 10, 2010

ISLAM DAN MATEMATIK

Islam Sains & Teknologi: Barat iktiraf sumbangan ahli matematik Islam

DALAM sejarah tamadun manusia, Zaman Keemasan Islam iaitu antara kurun ke-9 hingga 13 adalah lintasan sejarah yang biasanya tidak dibicarakan secara bersungguh-sungguh atau terperinci oleh ahli sejarah Barat.

Sebenarnya bagi sesetengah orang Islam, Zaman Keemasan ialah pada zaman Nabi Muhammad dan empat khalifah (Saidina Abu Bakar, Othman, Omar dan Ali).Ada pihak yang mengatakan Zaman Keemasan Islam itu lebih wajar diistilahkan sebagai Zaman Perkembangan Intelek Islam.

Jika membuka buku sejarah sains, khususnya sejarah perkembangan matematik hasil karangan sarjana Barat, tidak dapat tidak, sesiapa yang mengetahui sejarah tamadun Islam sebenarnya akan berasa wujud satu pakatan sulit di kalangan penulis Barat ini dengan orientalis dan mereka yang anti-Islam dalam menutup sama sekali akan kebesaran dan kepentingan sumbangan sarjana Islam dulu dalam bidang apa juga, khususnya matematik.

Ramai pengarang Barat memberi gambaran bahawa ahli matematik dan ilmuwan Islam tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pertumbuhan matematik. Jika pun mereka bersimpati, mereka sekadar memberi penghargaan dengan menganggap sarjana Islam adalah penyimpan ilmu warisan sarjana Yunani (Grik Purba).

Dari semasa ke semasa memang ada beberapa sarjana Barat yang mengagumi sumbangan ahli matematik Islam pada Zaman Perkembangan Intelek Islam.

Dengan munculnya sarjana Islam moden yang memaparkan sumbangan sarjana Islam sebenarnya, dan ditambah pula dengan kekuatan ekonomi negara Islam sekarang, sikap konfrontasi sarjana Barat terhadap Islam, semakin berkurangan.

Umpamanya, pada masa ini, ramai sarjana yang berpegang kepada pendirian bahawa: “Pada masa lalu, sumbangan orang Islam kepada sains telah diabaikan oleh ahli sejarah.“Kajian yang lebih baru mengakui akan manfaat kita kepada sarjana Islam yang mempertahankan obor pembelajaran menyala ketika Eropah berada dalam kegelapan pada Zaman Pertengahan." (Karpinski dan Winter, 1930)

(Dalam teks asal, Karpinski dan Winter menggunakan istilah ‘the Arabs’ dan ‘the Mohamedans’ bagi merujuk ‘orang Islam’. Sikap ini secara tidak langsung menunjukkan sikap negatif mereka kepada Islam sebagai agama yang diwahyukan. SIkap ini semakin pupus)

George Sarton, sarjana Barat terkemuka bidang sejarah sains telah membuka seluas-luasnya pintu hatinya untuk memaparkan kebenaran itu. Beliau tidak segan-silu memaparkan kejahatan (atau sekurang-kurangnya kejahilan) sarjana Barat.

Katanya: “Pengkaji berkenaan dengan Zaman Pertengahan telah memberikan kepada kita idea yang palsu sama sekali mengenai pemikiran sains Zaman Pertengahan kerana penumpuan mereka yang terlalu eksklusif kepada pemikiran Barat, sedangkan pencapaian yang tertinggi telah diperoleh oleh orang Timur... sebutkan orang ini kepada mereka... Al-Kindi, Al-Khwarizmi, Thabit Ibnu-Qura,.. Al-Kharkhi,.. Omar Khayam, yang semuanya seagung sarjana yang dipuja di Barat.” (Sarton, 1968:17).

Seterusnya Sarton menegaskan lagi bahawa: “Abad kesembilan hampir sepenuhnya berupa abad orang Islam,... kegiatan sarjana Islam dan orang sainsnya, amatlah ‘superior’.

“Merekalah yang menjadi pemegangan piawai sebenar tamadun pada masa itu." (Sarton, 1968).

Lebih dulu daripada Sarton, Smith, menerusi buku History of Mathematics, mengakui bahawa:“Eropah berhutang Renaissancenya (pembaharuannya) kepada Zaman Keemasan Islam ini.” (Smith, 1923:177)

Sarton pula secara konsisten tidak habis-habis mengakui kecemerlangan sarjana Islam pada Zaman Keemasan Islam.

Beliau menegaskan: “Dalam membincangkan pertumbuhan budaya Barat kita hampir boleh mengabaikan kemajuan orang Cina dan Hindu dalam matematik.

“Tetapi, perbuatan meninggalkan kemajuan orang Islam akan merosakkan seluruh perkembangan kebudayaan Barat dan menjadikannya tidak boleh difahami. Kedudukan sarjana Islam dengan pewaris ilmu Yunani diibaratkan seperti kedudukan sarjana Amerika dengan sarjana Eropah.” (Sarton, 1952: 28-30)

Sumbangan Islam dalam arimetik, teori nombor, algbera, trigonometri, geometri dan kaedah berangka adalah besar dan amat bererti dalam sejarah perkembangan matematik.

No comments:

Post a Comment

BACKPACKER TRIP 2011 (Thailand)